
Ketua Penerangan, Razali Idris, berkata Zulkafperi seharusnya meletak jawatan sebagai ahli Bersatu jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
“Dia yakin (tak dikenakan tindakan), dia bukan peguam, cuma doktor. Dia buat Bersatu macam kedai teh tarik…rasa nak keluar, dia keluar walaupun dah baiah.
“Dia dah berbaiah dan dalam baiah ada juga (tertulis) dia kena bayar RM10 juta. Nanti kita pinda perlembagaan dan kaitkan yang dia baiah itu,” katanya kepada FMT.
Razali mengulas kenyataan Zulkafperi, keputusan Bersatu meminda perlembagaan bertujuan menakut-nakutkan wakil rakyatnya yang berkira-kira mengalih sokongan.
Pada sidang media 25 Feb lalu, Zulkafperi berkata langkah Bersatu itu seperti tindak balas kepada dakwaan kemungkinan ada lagi Ahli Parlimennya akan menyokong Anwar.
Bagaimanapun, beliau yakin keputusan parti mahu meminda perlembagaan tidak terpakai kepadanya termasuk lima Ahli Parlimen lain.
Mengulas lanjut, Razali menafikan keputusan meminda perlembagaan sebagai usaha menakut-nakutkan ahli Bersatu kerana ia tetap akan dilakukan pada perhimpunan agung khas 2 Mac ini.
“Saya boleh bayangkan dia tak boleh tidur malam, dia menggelupur…rasa bersalah tapi tak tahu ke mana sebab kalau kerusi itu kosong saya jangka dia tak boleh bertanding mana-mana tiket parti lain.
“Sebagai ahli politik saya jangka Umno dan PKR takkan bagi (tiket), kalau bagi dia akan kalah berlipat kali ganda,” katanya.
Pada 29 Jan lalu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin umum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bersetuju meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.
Ia susulan enam Ahli Parlimen Bersatu isytihar menyokong Anwar tanpa meninggalkan parti.
Hamzah berkata, MPT juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan sedia berdepan PRK.
Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen lain adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).