
Bagaimanapun, suaminya, 40, yang juga peniaga air balang tidak mengaku salah selepas pertuduhan pindaan dibaca di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu sehingga menyebabkan anak bongsu mereka mengalami ‘alleged sympathomimetic drug ingestion’, di sebuah rumah pangsapuri di Taman Medan, pada 6 petang, 19 Feb.
Mereka boleh dihukum bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
“Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan atau perkara lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
“Dua tertuduh ini merupakan pasangan suami isteri tetapi mereka tidak mendaftarkan perkahwinan di sini,” katanya menurut Sinar Harian.
Bagaimanapun, wanita itu merayu agar kadar itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja, malah anak-anak memerlukannya di rumah.
Suaminya pula berkata dia perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah termasuk menjaga ibu bapanya.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Syahliza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.
Mahkamah juga menetapkan 13 Mac untuk fakta dan hukuman bagi wanita berkenaan, manakala sebutan kes termasuk lantikan peguam bagi tertuduh pertama iaitu suaminya.