Himpunan mega Palestin tak perlu permit, tegas penganjur

Himpunan mega Palestin tak perlu permit, tegas penganjur

Selepas pindaan pada 2019, hanya notis dalam tempoh 5 hari bekerja diperlukan bawah APA, kata SSP.

SSP berkata pihaknya telah menyerahkan notis penganjuran Himpunan Mega Demi Palestin kepada IPD Wangsa Maju pada 22 Feb lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) hari ini berkata, permit daripada polis tidak diperlukan bagi Himpunan Mega Demi Palestin Sabtu ini, selaras dengan Akta Perhimpunan Awam (APA).

Sebaliknya, katanya, selepas pindaan pada 2019, APA hanya memperuntukkan notis diberikan dalam tempoh lima hari bekerja, dan pihaknya telah menyerahkan notis jauh lebih awal, iaitu pada 22 Feb lepas.

“Untuk makluman semua, permit bagi himpunan tidak lagi diperlukan selepas Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 digubal bagi menggantikan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967 (Akta 344).

“Selepas pindaan pada 2019, bawah APA, hanya notis dalam tempoh lima hari bekerja diperlukan,” katanya.

“Pihak SSP dan Sekretariat Palestin Malaysia (SPM) melalui Pertubuhan Kebajikan Sejagat Malaysia (Sejagat) telah menyerahkan notis dan diterima oleh pihak IPD Wangsa Maju pada 22 Feb 2024.”

SSP membuat penjelasan susulan kenyataan Ketua Polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah bahawa polis masih belum menerima sebarang pemakluman dan permohonan berhubung perhimpunan itu daripada penganjur.

Ashari juga menafikan dakwaan bahawa polis sudah memberikan kelulusan untuk program itu diteruskan.

Beliau dilaporkan berkata, dalam sesi perjumpaan bersama pihak penganjur perhimpunan itu pada 22 Feb, pihaknya menasihati mereka untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit.

Mengulas lanjut, SSP memaklumkan pihak Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) juga telah berhubung dengan Kementerian Wilayah Persekutuan bagi mendapatkan kelulusan menggunakan Padang Merbok sebagai tapak perhimpunan.

“Surat permohonan penggunaan Padang Merbok telah dihantar kepada pihak DBKL bertarikh 19 Feb 2024,” katanya.

SSP menegaskan bahawa program pada Sabtu ini ialah perhimpunan aman dan akan berlangsung secara terkawal.

Katanya, pihak SSP serta rakan penganjur telah mengambil langkah menyediakan pasukan keselamatan, petugas kesihatan, peguam dan lain-lain.

“Perhimpunan (ini) selaras dengan pendirian kerajaan yang menyokong perjuangan pembebasan rakyat Palestin.

“Penguatkuasa sepatutnya mempromosikan pendirian kerajaan dengan konsisten bukan mengugut orang ramai agar tidak hadir ke himpunan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.