6 ditahan menyamar polis, samun rumah warga asing

6 ditahan menyamar polis, samun rumah warga asing

Polis menahan dua lelaki dan empat wanita, termasuk warga asing berusia 36 hingga 50 tahun, selain merampas barangan dipercayai hasil samun bagi membantu siasatan.

Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah, menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohd Azam Ismail. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Enam lagi lelaki ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan kes samun berkumpulan menggunakan senjata dan menyamar anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang, pada 22 Feb lepas.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, dua lelaki dan empat wanita, termasuk dua daripadanya warga asing berusia 36 hingga 50 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara pada Isnin lepas serta semalam.

Menurutnya, ini menjadikan keseluruhan 10 orang ditahan hasil soal siasat empat suspek yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes terbabit.

Katanya, polis turut merampas enam telefon bimbit, satu rantai leher dan dua cincin disyaki barang samun bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati empat suspek mempunyai enam hingga 16 rekod lampau, termasuk seorang daripadanya mempunyai satu rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah, manakala dua lagi suspek warga asing tiada rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif Methamphetamine serta Amp dan semuanya kini direman sehingga 4 Mac depan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah, dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kesalahan menyamar penjawat awam.

Media sebelum ini melaporkan empat lelaki berumur 30 hingga 44 tahun ditahan pada 23 Feb lepas kerana disyaki terlibat kes samun berkumpulan bersenjata dan menyamar anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah, Ampang.

Penahanan itu susulan aduan seorang lelaki Bangladesh mendakwa sekumpulan lelaki memakai “vest polis” dan membawa “gunting besar” serta tukul, masuk ke rumahnya dan mengarahkan dia bersama tujuh yang lain dalam rumah itu berkumpul di ruang tamu sebelum menggeledah serta mengambil barang dan wang tunai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.