Tiada tindakan perundangan tuntut Batu Puteh, kata Azalina

Tiada tindakan perundangan tuntut Batu Puteh, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu berkata, kerajaan sedang berunding dengan Singapura berhubung pembatasan maritim perairan Batu Puteh.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan Batu Puteh milik Singapura pada 2018. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan perundangan untuk menuntut Batu Puteh, selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan ia milik Singapura pada 2018, kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said

Beliau bagaimanapun berkata, Putrajaya sedang berunding dengan Singapura berhubung pembatasan maritim perairan Batu Puteh.

Katanya, rundingan itu dilakukan dua jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura serta Jawatankuasa Pembatasan Sempadan yang ditubuhkan mengikut perjanjian terbabit.

“Dalam hal ini, kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju kandungan rundingan termasuklah keputusan dan nota rundingan bertaraf rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada pihak lain tanpa persetujuan bertulis pihak-pihak,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Beliau menjawab soalan ketua pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang bertanyakan perdana menteri apa tindakan perundangan akan diambil untuk menuntut hak ke atas Batu Puteh, selain Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pada 24 Jan lalu, Jemaah Menteri dilaporkan bersetuju menubuhkan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Setiausaha Jemaah Menteri, Mohd Zuki Ali dilaporkan berkata penubuhan RCI itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan keanggotaan suruhanjaya terbabit akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan keputusan ICJ yang memutuskan Batu Puteh milik Singapura.

Tahun lalu, pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk mengkaji kes itu mendapati Mahathir mungkin membuat kesilapan menarik balik permohonan berkenaan.

Pada masa sama, Peguam Negara ketika itu, Idrus Harun berpandangan keputusan menarik balik permohonan itu “tidak teratur” dan “tidak wajar”.

Projek HSR

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) sedang menilai tujuh cadangan konsep daripada firma tempatan dan antarabangsa berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Katanya, MyHSR Corp memerlukan dua bulan untuk menilai cadangan konsep bagi projek itu.

“Hasil penilaian akan diangkat untuk kelulusan kerajaan bagi menyerani pendek konsortium untuk proses seterusnya, iaitu request for proposal (RFP),” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Januari lalu, Pengerusi MyHSR Corp, Fauzi Abdul Rahman berkata, hasil request for information akan dibentang kepada Kementerian Pengangkutan dan Jemaah Menteri untuk perbincangan selepas cadangan konsep dikemukakan konsortium.

Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR pada 1 Jan 2021 selepas gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Dis 2020.

Tetapi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada 4 Ogos 2023 mengumumkan Malaysia akan mengemukakan cadangan baharu projek HSR kepada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.