Azalina akan perjelas RCI Batu Puteh di Dewan Rakyat petang ini

Azalina akan perjelas RCI Batu Puteh di Dewan Rakyat petang ini

Penerangan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) akan dibuat di kamar khas.

Pada 14 Feb lalu Agong memperkenan penubuhan RCI untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dijangka membuat penjelasan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti isu berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di sesi Kamar Khas petang ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, memaklumkan penerangan menteri itu akan dibuat selepas usul bawah Peraturan 17 selesai.

“Speaker Dewan Rakyat (Johari Abdul) sudah benarkan permohonan Azalina untuk menteri buat penerangan menteri di kamar Khas berkenaan penubuhan RCI untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan Batu Puteh, Batuan tengah dan Tubir Selatan.

“Penerangan menteri akan dibuat di kamar khas petang (ini selepas usul di bawah Peraturan 17 selesai,” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 14 Feb lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan RCI untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Jemaah Menteri setuju menubuhkannya pada 24 Jan.

Dalam kenyataan, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mendapat perkenan pelantikan bekas ketua hakim negara, Md Raus Sharif sebagai pengerusi RCI itu.

Pada 2018, pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Batu Puteh milik Singapura.

Tahun lalu, pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengkaji kes itu mendapati Mahathir mungkin membuat kesilapan apabila menarik balik permohonan tersebut.

Pada masa sama, peguam negara ketika itu Idrus Harun berpandangan keputusan menarik balik permohonan tersebut sebagai “tidak teratur” dan “tidak wajar”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.