PN gagal rujuk PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

PN gagal rujuk PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata usul itu ditolak memandangkan kenyataan Anwar Ibrahim berkait tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir Mohamad adalah antara syor RCI.

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan dakwa RCI Pulau Batu Puteh tidak pernah menyatakan Dr Mahathir Mohamad bersalah. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Usul pembangkang merujuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen ditolak Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata usul terbabit ditolak memandangkan kenyataan Anwar berkait tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu Pulau Batu Puteh adalah antara syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Padahal, RCI tidak pernah menyatakan Mahathir bersalah,” katanya ditemui media di pintu utama bangunan Parlimen.

Pada 24 Jul lalu, pembangkang mengemukakan usul meminta Anwar dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu RCI Batu Puteh.

Usul itu susulan kenyataan Anwar yang Kabinet memutuskan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap Mahathir berhubung peranannya dalam isu Batu Puteh disebabkan faktor usia.

Siasatan terhadap Mahathir tahun lalu mendapati berlaku kemungkinan bekas perdana menteri itu bertindak secara sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri memberhentikan permohonan semakan berhubung kedaulatan Batu Puteh pada 2018.

Keputusan itu dibuat walaupun ada pandangan perunding antarabangsa menyatakan permohonan itu mempunyai kemungkinan munasabah untuk berjaya.

RCI mengesyorkan laporan polis dibuat terhadap Mahathir, dengan menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Mahathir dipetik berkata beliau tidak memerlukan sebarang imuniti termasuk faktor usia jika kerajaan menuduhnya bersalah.

Malah beliau sanggup berdepan tindakan undang-undang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.