Agenda perkasa UiTM dibawa ke kongres Bumiputera

Agenda perkasa UiTM dibawa ke kongres Bumiputera

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata UiTM perlu diperkukuh bagi memastikan kualiti pendidikan dalam kalangan Bumiputera dipertingkatkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata UiTM disifatkan sebagai ‘jantung’ untuk menjadikan negara maju.
PUTRAJAYA:
Agenda memperkasa dan memartabatkan mutu pendidikan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) antara perkara akan dibawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, yang dijadual pada 29 Feb hingga 2 Mac.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud, berkata sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi dikhususkan kepada golongan Bumiputera, kualiti pendidikan serta penghasilan graduan perlu dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan graduan dilahirkan memenuhi kehendak pasaran.

“Kita (KPT) telah bincangkan bahawa UiTM ini kita perlu perkukuhkan kerana kita mahu pastikan kualiti pendidikan dalam kalangan Bumiputera dapat dipertingkatkan.

“Ini yang akan kita tekankan dan perkasakan. Jadi kita akan bawa agenda UiTM ini ke KEB,” katanya kepada Bernama.

UiTM yang ditubuhkan pada 1956 adalah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang hanya menerima kemasukan penuntut Bumiputera, khususnya dari kawasan pedalaman dan golongan B40.

Sehingga kini UiTM melahirkan lebih sejuta graduan meliputi kira-kira 515 program pengajian di 34 kampus seluruh negara.

Selaras penganjuran KEB 2024 yang bersifat inklusif itu, Mustapha berkata KPT mengambil peluang mengetengahkan agenda UiTM bagi meningkatkan kompetensi institusi pendidikan itu di peringkat global serta memacu kebolehpasaran graduan UiTM.

“UiTM ini jantung untuk menjadikan negara maju, maka kita kena lahirkan bakat tempatan yang memang diperlukan negara. Oleh itu, hasrat ini perlu kita tekankan dan perkasakan untuk kita pastikan UiTM dapat sediakan akses pendidikan berkualiti dan menjamin kelangsungannya,” katanya.

Pada 30 Jan lalu, dilaporkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir bersetuju membawa agenda UiTM ke KEB. Keputusan itu dicapai pada sesi kunjungan hormat Majlis Bumiputera Bertindak, yang merupakan sebuah badan bebas memantau tataurus dan tatakelola UiTM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.