Memorandum gesa gencatan senjata diserah ke kedutaan AS

Memorandum gesa gencatan senjata diserah ke kedutaan AS

Seorang lelaki ditahan kira-kira sejam kerana dikatakan berada terlalu hampir dengan pintu masuk kedutaan.

Demonstrasi anjuran GegarAmerika itu dihadiri kira-kira 60 peserta yang membawa bendera Palestin sambil melaungkan ‘Free Palestine’.
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditahan polis kira-kira sejam ketika mengadakan protes pro-Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak.

Harmit Singh, 28, ditahan kerana dikatakan berada terlalu hampir dengan pintu masuk kedutaan AS.

Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan, berkata Harmit hanya ingin memaklumkan bahawa mereka ingin menyerahkan memorandum.

“Kami telah memaklumkan kepada polis dan Kedutaan AS mengenai bantahan hari ini. Tetapi apabila Harmit menghampiri kedutaan, dia dihalang kerana polis mendakwa bahawa sebelum ini protes diadakan lebih jauh dari kedutaan.

“Bagaimanapun, Harmit menjawab sebab utama perhimpunan itu adalah untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan, bukan (sekadar) untuk membantah.

Oleh kerana dia orang pertama daripada peserta himpunan yang mendekati kedutaan, polis menghalangnya dan menahannya,” kata Sivarajan.

Polis kemudian membebaskan Harmit selepas penganjur, GegarAmerika, menyerahkan memorandumnya secara aman kepada wakil kedutaan.

Demonstrasi anjuran NGO itu dihadiri kira-kira 60 peserta yang membawa bendera Palestin sambil melaungkan “Free Palestine”.

Menurut penganjur, memorandum itu menggesa AS mendesak gencatan senjata serta-merta dan kekal menghentikan penjualan senjata kepada Israel dan “menamatkan kekebalan Israel”.

GegarAmerika juga menuduh AS mengekalkan imperialisme dan menyebabkan penderitaan di negara-negara Selatan Global – istilah umum untuk negara membangun.

Memorandum itu disokong oleh PSM, Muda, Pemuda Sosialis, Bersih, Suaram dan beberapa kumpulan belia dan universiti.

Tahun lalu, Sekretariat Solidariti Palestin mengadakan tunjuk perasaan enam hari yang disertai oleh ahli politik dan NGO tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.