Bekas pemimpin PKR saman Chegubard, Afif kerana fitnah

Bekas pemimpin PKR saman Chegubard, Afif kerana fitnah

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendakwa kedua-dua tokoh PN itu mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh memalukan dan menjatuhkan reputasinya.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memfailkan saman menuntut ganti rugi khas RM1 juta setiap seorang daripada Chegubard dan Dr Afif Bahardin.
PETALING JAYA:
Seorang bekas pemimpin PKR memfailkan saman terhadap ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Adun Taman Medan Dr Afif Bahardin, atas dakwaan memfitnah tahun lepas.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga seorang ahli perniagaan, memfailkan saman itu secara berasingan di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Jan lepas menerusi Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co dengan menamakan Chegubard dan Afif selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Farhash selaku plaintif mendakwa Chegubard membuat kenyataan berunsur fitnah pada sidang media sekitar 24 Nov tahun lepas yang menyatakan plaintif ialah ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang menjalankan agensi risikan kebangsaan dan mempunyai semua maklumat sulit berkenaan aset negara.

Sementara itu, Farhash turut mendakwa Afif, yang juga setiausaha Perikatan Nasional Selangor, memfitnahnya menerusi kenyataan media pada 15 Nov 2023 kononnya plaintif mempunyai perwatakan liar dan tidak sesuai menjadi pegawai kerajaan.

Menurut plaintif, kedua-dua kenyataan fitnah itu yang diterbitkan di TikTok dan WhatsApp boleh menjatuhkan reputasi serta memalukan dirinya yang juga pengerusi dan pengarah beberapa syarikat termasuk 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad dan Apex Equity Holdings Berhad.

Oleh itu, plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan atau ejen mereka daripada mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut, lapor Bernama.

Plaintif juga memohon kedua-dua defendan menarik balik kenyataan fitnah tersebut serta membuat permohonan maaf yang perlu diterbitkan di media elektronik dan surat khabar pilihan plaintif.

Turut dituntut, ganti rugi khas RM1 juta daripada setiap defendan dan ganti rugi am, ganti rugi pampasan dan teladan, faedah serta kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 25 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.