Mawla Amin: Menteri ingatkan rakyat jangan taasub

Mawla Amin: Menteri ingatkan rakyat jangan taasub

Semua pihak diingatkan sentiasa merujuk jabatan agama Islam negeri berhubung pentauliahan pendakwah bagi memastikan setiap perkara disampaikan selari ajaran Islam.

Mohd Na’im Mokhtar berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan pihak cuba mengeksploitasi agama demi kepentingan diri atau kumpulan tertentu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan orang ramai menjauhkan diri daripada sikap taasub selepas seorang lelaki mendakwa dirinya dalam jalur keturunan nabi.

Beliau turut menasihatkan semua pihak sentiasa merujuk jabatan agama Islam negeri (JAIN) berhubung pentauliahan pendakwah bagi memastikan setiap perkara yang disampaikan selari ajaran Islam.

“Semua pihak diminta sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taasub,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.

Sebelum ini, polis dilaporkan sedang memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa dirinya warga Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai “Mawla Amin” dan mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Ia susulan laporan seorang mudir sebuah madrasah di Selangor yang turut aktif mempromosikan “Mawla Amin” didakwa mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan perkampungan kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman buat pengikutnya.

Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan pihak cuba mengeksploitasi agama demi kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam, khususnya JAIN dan polis untuk menyiasat pendedahan yang dinyatakan media.”

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri bagi mengambil tindakan sesuai, jika “Mawla Amin” didapati membawa ajaran bertentangan.

Katanya, warga Algeria itu memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.