
Pemangku Ketua Polis Batu Pahat, Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pemuda tempatan berusia 20 tahun yang memandu Toyota Supra itu disyaki melakukan aksi berkenaan sekitar 12.15 tengah malam Rabu.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Batu Pahat mengesan video tular 37 saat di laman Facebook yang memaparkan kejadian berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan serta risikan lanjut, pemuda berkenaan yang bekerja sebagai pekerja kilang ditahan pada 1.15 tengah hari Rabu dan ujian saringan air kencing suspek didapati negatif dadah.
“Tahanan reman ke atas suspek akan dimohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat (pada Khamis),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.