
Melahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian bekas ketua menteri Sarawak itu kira-kira 4.40 pagi tadi, Anwar mewakili kerajaan pusat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan rakyat negeri berkenaan.
“Sesungguhnya kita, terutama rakyat Sarawak kehilangan seorang negarawan yang dihormati.
“Jasa dan bakti (Taib) kepada negara dan negeri Sarawak akan sentiasa dikenang buat selamanya,” katanya di laman X.
Taib, 87, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan jenazahnya dijadualkan dibawa ke Kuching sekitar 1 tengah hari nanti.
Jenazahnya akan ditempatkan di kediamannya di Demak Jaya, sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk penghormatan terakhir mulai 8 pagi esok dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Demak Jaya, dekat kediamannya selepas solat Zohor esok.
Taib merupakan ketua eksekutif kerajaan negeri paling lama berkhidmat, memimpin Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014, selain Ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat, mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun dari 1970 hingga 2008.
Beliau berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 2014 hingga Januari lalu.