Bekas pengurus mengaku tak salah ubah wang RM40,000

Bekas pengurus mengaku tak salah ubah wang RM40,000

Dicky Rahmat Abdullah didakwa memindahkan RM40,000 daripada SA Elit Enterprise ke akaun peribadinya.

Dicky Rahmat Abdullah berdepan satu pertuduhan pengubahan wang yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda.
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas pengurus mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memindahkan dana syarikat ke akaun peribadinya.

Dicky Rahmat Abdullah berdepan satu pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 kerana memindahkan RM40,000 daripada SA Elit Enterprise ke akaun peribadinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Taman Setiawangsa antara 8 Sept dan 9 Dis 2021.

Jika didapati bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak lebih lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram.

Hakim Azura Alwi menetapkan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menetapkan pengurusan kes pada 3 April ini.

Peguam Diar Isda Yazmin Ismail mewakili Dicky.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.