
Katanya, pindaan ordinan itu perlu dibuat berikutan banyak perkara berkaitan hak pekerja seperti waktu bekerja dan gaji tidak selaras dengan Semenanjung Malaysia.
“Justeru kita mahu seragamkan semua perkara dalam Akta Kerja itu dengan Sarawak dan Sabah,” katanya menurut Harian Metro.
Sim berkata, pihaknya dan kerajaan Sarawak kini pada peringkat perbincangan berhubung usaha untuk meminda Ordinan Buruh Sarawak itu.
“Minggu lalu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Gerawat Gala mengadakan pertemuan dengan kami untuk berbincang isu itu dan beliau akan membawa hasil perbincangan kepada Kabinet Sarawak.
“Saya yakin dengan kerjasama dan hubungan rapat dengan kerajaan Sarawak, kita dapat mencapai kata putus untuk melaksanakan pindaan Ordinan Buruh Sarawak dalam masa terdekat,” katanya.
Sementara itu, Sim berkata, seramai 10,000 rakyat Sarawak disasarkan menyertai Minggu Latihan Kebangsaan anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang dilaksanakan HRD Corp, Jun ini.
Menurutnya, tahun lalu seramai 2,500 rakyat Sarawak menyertai latihan itu dan kali ini lebih 100 kursus dalam pelbagai kemahiran disediakan.
“Minggu Latihan Kebangsaan antara pendekatan KSM untuk menyediakan latihan kemahiran selaras dengan hala tuju kerajaan Sarawak dalam pembangunan ekonomi hijau di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dijangka menjana lebih RM300 bilion pelaburan menjelang 2030,” katanya.