Malaysia penting dalam perjuangan hak Palestin, kata duta Afrika Selatan

Malaysia penting dalam perjuangan hak Palestin, kata duta Afrika Selatan

David E Malcomson berkata Malaysia akan sentiasa bersama Afrika Selatan dalam isu Palestin.

Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia David E Malcomson berkata beliau tahu Malaysia akan terus konsisten menyokong Afrika Selatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Afrika Selatan menganggap Malaysia sebagai sekutu penting dalam memperjuangkan hak Palestin dan menentukan nasib sendiri, menurut Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan ke Malaysia David E Malcomson.

“Sejak Malaysia menyokong perjuangan pembebasan kami (Afrika Selatan), apabila kami mencapai kemerdekaan, kami faham bahawa Malaysia akan sentiasa bersama dalam isu Palestin.

“Dan itu telah dilakukan sepanjang dekad sejak itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perbincangan Meja Bulat mengenai Inisiatif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Afrika Selatan dan Implikasinya terhadap Tel Aviv di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa.

Ditanya sama ada beliau berharap Malaysia akan terus konsisten menyokong Afrika Selatan, Malcomson menjawab: “Saya tahu Malaysia akan konsisten dalam isu ini, saya tidak perlu berharap.”

Bernama sebelum ini melaporkan Menteri Luar Mohamad Hasan berada di Hague, Belanda untuk mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam bagi mendapatkan nasihat ICJ berhubung isu Palestin.

Mohamad dijadual menyampaikan kenyataan lisan Malaysia di Peace Palace di The Hague pada 22 Feb kira-kira 5.10 petang waktu tempatan (kira-kira 12.10 tengah malam 23 Feb waktu Malaysia).

“Malaysia menyertai prosedur pendapat nasihat bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA),” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata permohonan untuk pendapat nasihat itu terhasil daripada Resolusi 77/247 UNGA yang diterima pakai pada 30 Dis 2022, dengan Malaysia menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

Pendapat nasihat merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang difailkan di ICJ pada 29 Dis 2023, katanya.

Israel menyerang Gaza sejak 7 Okt dan mengakibatkan hampir 29,000 penduduk terbunuh serta kemusnahan besar-besaran termasuk kekurangan barang keperluan hingga membawa kepada krisis kemanusiaan di Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.