
Delegasi Malaysia akan diketuai Menteri Luar Mohamad Hasan diiringi pegawai kementerian serta Jabatan Peguam Negara yang akan mengikuti sesi pendengaran awam itu dari 19 hingga 26 Feb.
“Kenyataan Lisan Malaysia akan disampaikan pada 22 Feb, jam 5.10 petang waktu tempatan (23 Feb jam 12.10 malam waktu Malaysia),” kata Mohamad dalam kenyataan.
Beliau berkata permohonan bagi mendapatkan pendapat nasihat ini terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pada 30 Dis 2022.
Jelasnya, pendapat nasihat itu adalah prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang telah difailkan di ICJ pada 29 Dis tahun lalu.
“Permohonan Afrika Selatan telah difailkan atas dakwaan pencabulan Israel di bawah Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, khususnya yang berlaku sejak 7 Okt 2023.
“Prosedur mendapatkan pendapat nasihat ini pula adalah ekoran daripada permohonan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB,” katanya.
Jelas Mohamad, pendapat nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.
“Pendapat nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara,” katanya.
Mohamad berkata, sebelum sesi pendengaran awam itu, Malaysia telah menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan kenyataan bertulis kepada ICJ pada 25 Jul tahun lalu.
“Kenyataan bertulis Malaysia menekankan hujahan berkaitan dasar dan tindakan Israel, termasuk pendudukan (occupation) berterusan, aktiviti penempatan (settlement) dan pengilhakan (annexation) di dalam wilayah Palestin, yang mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.
“Kenyataan tersebut juga menegaskan bahawa pendudukan Israel adalah haram dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.