Bakar kereta polis bantuan, penghantar makanan didakwa 2 tuduhan khianat

Bakar kereta polis bantuan, penghantar makanan didakwa 2 tuduhan khianat

Tertuduh, Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu ketika dihadapkan ke dua mahkamah berasingan.

Keadaan kereta polis bantuan yang didakwa dibakar seorang penghantar makanan berhampiran stesen MRT Mutiara Damansara, minggu lalu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang penghantar makanan yang tular di TikTok kerana membakar kereta polis bantuan berhampiran Stesen MRT Mutiara Damansara minggu lalu, didakwa di dua mahkamah di sini atas pertuduhan melakukan khianat.

Tertuduh, Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad, menurut Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, pada 1.17 pagi, 15 Februari lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret kerana melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit pada 1.10 pagi tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun masing-masing mencadangkan jaminan RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mereka turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Peguam bela tertuduh, Kailash Sharma pula memohon jaminan minimum apabila menegaskan anak guam tiada risiko melarikan diri dan rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.