Polis kesan lelaki berpaut belakang lori

Polis kesan lelaki berpaut belakang lori

Polis berkata pemandu lori terbabit memberitahu dia tidak menyedari ada lelaki berpaut pada belakang kenderaannya.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki berpaut pada belakang sebuah lori yang bergerak laju di KM 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke Senai.
JOHOR BAHRU:
Polis Johor mengesan seorang lelaki yang melakukan perbuatan berbahaya dengan berpaut pada belakang sebuah treler yang sedang bergerak di atas lebuh raya seperti yang tular di laman sosial Facebook semalam.

Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata pihaknya menyedari insiden itu pada 12 tengah hari semalam selepas video tular di media sosial.

Beliau berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku di KM 35 Lebuhraya Link Kedua menghala ke Senai pada Khamis lepas kira-kira jam 10 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori dari Kangkar, Pulai menghala ke kawasan Perindustrian Senai dan dia tidak menyedari terdapat seorang lelaki berpaut di belakang kenderaan dipandunya.

“Pemandu berumur 36 tahun tersebut mendakwa hanya menyedari perkara itu setelah rakannya menghantar video viral berkenaan. Pemandu tersebut hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kulai bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes untuk tampil di IPD Kulai atau menghubungi pegawai penyiasat di talian 0167573507.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat menunjukkan aksi, seorang lelaki berpakaian gelap dan menggalas beg, berdiri dan berpaut pada belakang treler yang bergerak laju.

Video dipercayai dirakam pemandu lain yang melalui jalan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.