
Bekas menteri kesihatan berkata, isu pemansuhan pencen penjawat awam berkait rapat dengan keselamatan sosial orang Melayu dan Bumiputera.
“Saya tak pasti benda ini patut ada dalam KEB atau tidak. Ini berkenaan simpanan dan keselamatan sosial Bumiputera.
“Keselamatan sosial satu tajuk besar, keselamatan sosial rakyat Malaysia tapi yang khusus untuk KEB adalah keselamatan sosial Bumiputera,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan.
Beliau berkata, KEB juga platform sesuai untuk mengemukakan resolusi membabitkan cadangan kerajaan memansuhkan pencen penjawat awam baharu.
“Ia peluang untuk KEB, walaupun libatkan semua bangsa tapi 90% penjawat awam adalah Melayu, jadikan ini sebagai usul resolusi KEB menyatakan sokongan. Kita memang tidak mampan, ada kajian dapati, dana pencen boleh cecah ke RM100 bilion untuk 30 tahun akan datang.
“Kita dah memang ada pilihan, ia Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Sementara itu, Shahril yang juga bekas ketua penerangan Umno berpendapat KEB adalah platform sesuai membincangkan isu jaringan keselamatan sosial ekoran ramai orang Melayu dan Bumiputera membuat pengeluaran simpanan dana KWSP ketika pandemik Covid-19.
“Ada peluang dalam KEB bercakap soal simpanan dan keselamatan sosial Bumiputera boleh diperkasakan.
“Daripada pengeluaran KWSP zaman Covid-19, kebanyakannya Bumiputera, komuniti Bumiputera simpanannya berkurang berbanding komuniti lain. Jurangnya melebar,” katanya.
KEB 2024 dijadualkan berlangsung 29 Feb hingga 3 Mac depan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata KEB 2024 akan bersifat lebih menyeluruh dengan turut melibatkan input daripada kumpulan perniagaan bukan Melayu.