Bapa, bayi maut nahas di Ipoh

Bapa, bayi maut nahas di Ipoh

Lelaki berusia lingkungan 20 tahun maut di lokasi kejadian manakala anaknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.

Polis berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca Proton Saga dipandu mangsa keluar simpang untuk melintas jalan sebelum dirempuh Mercedes-Benz. (Gambar Facebook)
IPOH:
Seorang bapa dan bayi perempuannya berusia 11 bulan maut selepas terlibat kemalangan jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Klebang Restu.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata kemalangan kira-kira 7.21 pagi itu menyebabkan lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang memandu Proton Saga maut di lokasi kejadian manakala anaknya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada Proton Saga yang dipandu mangsa telah keluar simpang untuk melintas jalan sebelum dirempuh sebuah kereta Mercedes-Benz yang datang dari arah Sungai Siput menghala ke Ipoh.

“Kemalangan itu mengakibatkan Proton Saga tersebut terbabas sehingga merempuh sebuah lagi kereta iaitu Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan dari arah Klebang Restu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, bagaimanapun dua pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HRPB untuk proses bedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis meminta individu yang menyaksikan kemalangan tersebut menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali, di talian 013 6218531 atau ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.