
“Perlu ada satu sahaja set undang-undang jenayah di negara ini bagi sesuatu jenayah, dan semua orang tertakluk kepadanya.
“Jika tidak, kita akan ada dua set undang-undang jenayah dan tahap ketidakadilan layanan dan hukuman yang mana akan menimbulkan ketidaksamarataan atau keadilan pada masa mendatang,” kata peguam Andrew Khoo kepada FMT.

Khoo berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, pada Jumaat lalu, bertujuan memastikan undang-undang dikuat kuasakan di negeri tidak bertindih dengan undang-undang persekutuan.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, hal menjadi tanggungjawab Parlimen terkandung dalam Senarai Persekutuan, manakala bidang kuasa DUN berada dalam Senarai Negeri.
Selain itu, terdapat juga Senarai Bersama, yang mana menyenaraikan perkara menjadi tanggungjawab bersama Parlimen dan DUN.
Susulan keputusan mahkamah atasan itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menggesa kerajaan memasukkan bidang kuasa jenayah dalam Senarai Bersama bagi memperkasa DUN menggubal undang-undang kesalahan jenayah, termasuk di bawah undang-undang syariah.
Bagaimanapun, peguam Perlembagaan Bastian Pius Vendargon, berkata dengan melakukan demikian akan membangkitkan konflik undang-undang antara pusat dan negeri.

Vendargon berkata, pertindihan bidang kuasa jenayah mengakibatkan percanggahan dalam dua undang-undang substantif dan peraturan prosedur, dari segi aspek kanun keseksaan, dan bagaimana keterangan dikumpul dan dibentang di mahkamah.
“Sebelum ini, kita melihat timbul konflik dalam ruang lingkup undang-undang keluarga antara pasangan bukan Muslim dengan pasangan yang memeluk Islam,” katanya.
Beliau berkata, satu konflik seperti itu berlaku sebelum 2018, apabila satu daripada pasangan memeluk Islam yang sebelum ini mereka berkahwin sebagai pasangan bukan Muslim.
Katanya, ketika itu Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 hanya membenarkan pasangan tidak menukar agama dibenar membuat petisyen pembubaran perkahwinan.
Jika pasangan tidak menukar agama enggan berbuat demikian, pasangannya yang Muslim, yang tidak mempunyai remedi dalam undang-undang sivil boleh memulakan prosiding perceraian di mahkamah syariah, sekali gus menyebabkan pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah.
Vendargon berkata, dalam pindaan 2017 yang mana berkuat kuasa setahun kemudian, menyelesaikan pertikaian tersebut dengan membenarkan pasangan menjadi Muslim turut dibenar membuat petisyen pembubaran perkahwinan.
Bagaimanapun, katanya ada banyak lagi konflik masih wujud antara bidang kuasa melibatkan mahkamah sivil dan syariah, termasuk melibatkan penukaran agama sebelah pihak dan hak penjagaan kanak-kanak bawah umur.
Beliau berkata, membenarkan negeri gubal undang-undang jenayah hanya akan menambah kekeliruan.

Dalam pada itu, sarjana Perlembagaan Aziz Bari berkata alasan lain mengapa Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda bagi memberi kuasa kepada negeri menggubal undang-undang jenayah kerana negeri kekurangan kemudahan mengendalikan kes jenayah.
“Ini melibatkan prosedur siasatan dan ketersediaan makmal canggih bagi analisis DNA dan bahan kimia. Realitinya, ada negeri lemah kewangannya dan tidak mampu sedia kakitangan penguat kuasa atau menyedia kemudahan diperlukan bagi siasatan jenayah,” katanya kepada FMT.