
Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata dalam insiden pada 5.30 petang itu, sepasukan polis Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah yang sedang melakukan rondaan Op Laras di jalan terbabit mengarahkan kereta dipandu suspek berhenti selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata suspek enggan berhenti namun keretanya telah terbabas ke kiri jalan dan terhenti sebelum dia bertindak melepaskan dua das tembakan.
“Polis kemudian membalas tembakan untuk mempertahankan diri dan kita telah berjaya menumpaskan lelaki berumur 57 tahun itu.
“Pemeriksaan dalam kereta suspek menemukan dua pucuk pistol dan sejumlah peluru yang kita rampas. Peluru 9 milimeter (mm) 100 butir, .38 juga 100 butir. Kita juga merampas peluru 5.56 yang digunakan untuk raifal seperti M-16,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian malam ini.
Fisol berkata siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah membabitkan kes dadah dan senjata api tiruan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
Fisol berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada suspek terlibat dengan mana-mana sindiket.
Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.