
Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa terbabit dalam proses temu duga pemilihan jawatan dan melantik anaknya, Nurnadiah ke jawatan penolong pegawai sumber manusia syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak, dekat Melaka, pada 27 Dis 2018.
Menurut Berita Harian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Nizam Abd Kadir dan Zulfahmi Abu Bakar.
Terdahulu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan tiada pendapatan kerana tidak berpencen, selain perlu menanggung lima anak termasuk dua masih bersekolah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM Melaka sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Mac.