
Wakil penduduk Abd Rais Lah Omar, 54, berkata laluan keluar masuk ke tapak projek berdekatan dengan lima kediaman penduduk menyebabkan kekotoran serta gangguan pernafasan akibat pencemaran debu yang tebal.
“Keselamatan dan kesihatan penduduk yang tinggal di kawasan sekitar tapak projek terjejas terutama penduduk di Lot 321 dan 3164.
“Akibat daripada projek pasir itu juga terhasil lombong sangat luas dan dalam, jaraknya hanya 30m dari sempadan tanah (kediaman) berdekatan,” katanya selepas membawa pemberita meninjau tapak projek pasir di Kampung Jerai dekat sini, petang semalam.
Katanya, pemilik tanah berhampiran tapak projek yang berjalan lebih kurang setahun lepas itu juga mengalami kerugian akibat nilai tanah susut berikutan kesan perlombongan pasir.
“Kami harap bantahan ini menarik perhatian pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut dan menyeluruh. Kami juga harap tiada lagi kelulusan menyedut pasir dikeluarkan selepas ini,” katanya.
Seorang penduduk Siti Ramlah Husin, 63, berkata beliau yang tinggal di kampung tersebut sejak lahir risau jika kawasan lombong pasir terhakis sehingga hampir ke kawasan rumahnya.
“Keadaan jadi bising. Mak saya dah tua, mata tak nampak, umur 84 tahun. Jadi tertekan sebab bunyi jentera tak berhenti,” katanya.
Abdul Hadi Ahmad, 39, pula berkata, terdapat ramai kanak-kanak di kampung itu, dan beliau khuatir akan keselamatan mereka jika bermain di kawasan itu.
“Tengah malam pun ada lori keluar masuk. Kalau boleh, tutup kuari pasir ini sebab dekat dengan rumah orang,” katanya.