Warga emas maut, 5 cedera nahas di Tampin

Warga emas maut, 5 cedera nahas di Tampin

Polis berkata, mangsa lelaki berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.

Keadaan Honda City selepas terbabit kemalangan di KM1 Jalan Sungai Dua ke Air Kuning Selatan dekat Masjid Kg Sungai Dua, Tampin, semalam. (Gambar PDRM)
SEREMBAN:
Seorang warga emas maut, manakala lima lagi cedera selepas kereta dinaiki bertembung sebuah kenderaan lain di KM1 Jalan Sungai Dua ke Air Kuning Selatan berhampiran Masjid Kg Sungai Dua, Tampin, dekat sini semalam.

Ketua Polis Tampin, Amiruddien Sariman berkata dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa lelaki berusia 65 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Honda City dari Tangkak ke Rompin dipandu seorang lelaki dengan tiga penumpang, termasuk mangsa yang duduk di bahagian belakang penumpang sebelah kanan…dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Lexus yang dipandu seorang lelaki dengan dua penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu, beliau berkata, lima individu dalam dua kenderaan itu cedera, dengan dua daripadanya masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, manakala seorang lagi tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.