
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah, berkata kejadian kira-kira 6.30 pagi wanita berusia 36 tahun itu memandu kereta ke tempat kerjanya.
Beliau berkata, kereta mangsa disekat sebuah kereta lalu dua lelaki bersenjatakan pedang samurai keluar dari kenderaan itu menuju ke kereta mangsa.
“Suspek bertindak memecahkan cermin hadapan, tingkap kiri serta kanan kereta mangsa menggunakan pedang itu yang kemudian turut terkena tangan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Zainol berkata, mangsa kemudian mengundurkan keretanya dan terlanggar kereta di tepi jalan ketika berusaha melarikan diri ke Balai Polis Masjid Tanah.
Katanya, wanita terbabit mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dihantar ke Hospital Melaka.
“Hasil siasatan awal, mangsa mengatakan dia tidak mengenali suspek serta tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini.
“Siasatan juga mendapati kereta milik mangsa mengalami kerosakan di cermin pintu hadapan kiri dan kanan serta di cermin hadapan selain terdapat kesan langgar di bahagian belakang,” katanya.
Mangsa tidak kehilangan barangan berharga dan kes disiasat bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba rompak dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat.