Kementerian nafi dakwaan Nurul Izzah dibayar RM35,000 penasihat Laksana

Kementerian nafi dakwaan Nurul Izzah dibayar RM35,000 penasihat Laksana

Dokumen perjanjian disebarkan di media sosial ialah draf tawaran tidak sah, kata Kementerian Kewangan.

Menurut Kementerian Kewangan Nurul Izzah Anwar memberikan khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ seperti dimaklumkan kepada umum sebelum ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan menafikan dakwaan bahawa anak Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah, dibayar sebagai penasihat kepada Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Menerusi ciapan di X, kementerian itu berkata, tangkap layar dokumen mendakwa Nurul Izzah akan mendapat gaji RM35,000 untuk jawatan itu, yang tersebar di media sosial, adalah “fitnah semata-mata”.

“Dokumen perjanjian yang diuar-uarkan di media sosial ini merupakan sebuah draf tawaran yang tidak sah,” katanya di X
.
“Perjanjian sah yang telah ditandatangani oleh Nurul Izzah adalah untuk memberi khidmat nasihat kepada Laksana secara ‘pro bono’ atau tanpa mengambil imbuhan kewangan mahupun sebarang faedah, seperti yang telah dimaklum kepada umum.”

Nurul Izzah berkata di Facebook pada Ahad bahawa beliau akan membuat laporan polis berhubung penularan dokumen itu.

Pada Isnin, The Star melaporkan bahawa seorang pengguna Facebook telah memuat naik dokumen tersebut, yang turut mendakwa bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diperuntukkan dua kakitangan, yang perlu dibayar antara RM5,000 dan RM20,000.

Tahun lepas, Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri.

Beliau meletak jawatan beberapa minggu kemudian susulan kritikan daripada pelbagai pihak yang membangkitkan isu nepotisme.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.