Pendatang lolos di Bidor, tiada dalang setakat ini, kata KP imigresen

Pendatang lolos di Bidor, tiada dalang setakat ini, kata KP imigresen

Ruslin Jusoh berkata kertas siasatan insiden 131 pendatang lolos akan siap akhir bulan ini.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh, berkata belum ada tanda pembabitan dalang dalam insiden di Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Feb. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Imigresen setakat ini tidak mengesan penglibatan dalang dalam kejadian 131 pendatang asing meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Perak pada 1 Feb, kata Ketua Pengarah Ruslin Jusoh.

Beliau berkata, bagaimanapun siasatan lanjut tentang kejadian itu sedang dijalankan.

“Imigresen tidak nampak lagi ada penglibatan dalang dalam kes berkenaan (131 pendatang meloloskan diri) dan siasatan masih dibuat,” katanya selepas menjadi tetamu jemputan program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV.

Dalam menyiapkan siasatan kejadian itu, imigresen katanya, turut menemu bual beberapa tahanan yang berada di dalam depot imigresen berkenaan.

Menurut Ruslin, pihaknya menjangkakan kertas siasatan kejadian itu siap akhir bulan ini.

Beliau berkata, selain imigresen, siasatan turut dilaksanakan agensi lain seperti polis, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Pada ketika ini katanya, imigresen memiliki 18 depot kekal dan dua depot sementara di Bidor serta Beranang, Selangor dengan penilaian jabatan menunjukkan keadaan keselamatan di depot sementara Beranang terkawal.

Ruslin berkata, sebaik sahaja menyelesaikan kertas siasatan, pihaknya akan meneliti perkara disyor dan mengemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri.

Ditanya mengenai usaha mencari sebahagian daripada pendatang asing yang masih bebas, beliau berkata radius pencarian kini diperluas sejauh 15km.

“Dalam erti kata lain, imigresen tidak hentikan pencarian dan bilik gerakan masih dibuka. Saya yakin mereka ini (pendatang asing) tidak boleh bersembunyi dan bertahan lama dalam hutan. Lambat-laun mereka akan keluar dan meminta makanan daripada penduduk kampung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.