Terengganu teliti sama ada kanun jenayah syariah bercanggah persekutuan

Terengganu teliti sama ada kanun jenayah syariah bercanggah persekutuan

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri akan ambil tindakan sewajarnya jika ada pihak mencabar enakmen itu.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata keputusan Mahkamah Persekutuan batal 16 enakmen kanun jenayah Kelantan memberi kesan kepada sistem perundangan syariah seluruh negeri.
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu akan meneliti semua aspek Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri itu supaya tidak bercanggah dengan peringkat persekutuan, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata, penelitian itu merangkumi semua aspek berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.

“Kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pihak yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Samsuri yang juga naib presiden PAS, berpandangan keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberi impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negeri, bukan sahaja di Kelantan.

Pada Jumaat, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya. Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.