
Bagi Abdul Nazar, 62, kemahiran anak-anaknya menukar pertuturan dalam satu bahasa kepada bahasa lain merupakan suatu kebanggaan.
Beliau sendiri seorang Tamil Muslim yang fasih dalam bahasa Mandarin bangga dengan kefasihan anak-anaknya, yang dihantar bersekolah ke sekolah aliran Cina.
“Saya boleh cakap dalam bahasa Mandarin kerana saya belajar di sekolah Cina. Itu sebabnya saya nak anak-anak saya juga belajar di sekolah Cina,” katanya kepada FMT.
Isteri Abdul Nazar, Hasnah Paruwadi Abdullah, 49, satu-satunya yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Mandarin turut rasa bangga dengan keluarganya yang fasih dalam banyak bahasa.
“Saya suka dengar mereka cakap dalam bahasa Mandarin,” kata Hasnah.
“Di samping bahasa Tamil, Inggeris, dan Melayu, kami memang benar-benar Satu Malaysia.”

Anak bongsu keluarga itu, Nazarudeen, 23, berkata walaupun berpindah ke sekolah kebangsaan ketika berusia 8 tahun, beliau terus menggunakan bahasa Mandarin.
Bagi kakaknya, Maimunah pula, perbualan dalam bahasa Mandarin bukan sesuatu yang asing.
“Apabila kami di luar, saya cakap dengan bapa dan adik-beradik saya dalam bahasa Mandarin. Bukan kami nak menunjuk-nunjuk, cuma dah terbiasa,” katanya.
Bahasa itu turut berguna apabila beliau dan adik-beradiknya mahu bergosip, katanya berseloroh.
Dalam pada itu, dua anak Abdul Nazar juga ahli kumpulan tarian singa.

Mariam, 28, bermain simbal, gong, dan gendang dengan Persatuan Tarian Naga dan Singa Khuan Loke, selama 14 tahun.
Beliau terlibat dengan kumpulan itu tidak lama selepas abangnya, Nursultan, 29, diajak menyertai kumpulan itu oleh kawannya. Nursultan pada mulanya turut bermain alat muzik, namun kemudian memainkan peranan ‘kepala singa’ pada tahun berikutnya.
Mariam mula berminat dengan persembahan tarian singa apabila melihat abangnya berlatih pada waktu malam.
“Saya tertarik dengan tarian singa kerana suka bunyi gendangnya. Setiap kali saya main gendang, saya rasa tenang, stress pun lega,” katanya.
Selama terlibat dalam dunia tarian singa, beliau dicemuh kerana ramai salah anggap persembahan itu berasaskan amalan agama dalam komuniti Cina, sedangkan beliau orang Islam.
Bagaimanapun, keluarganya teguh menyokong penglibatannya.
“Kedua-dua ibu dan bapa saya sentiasa menyokong dan gembira,” katanya.
“Sebagai bukan orang Cina, kehadiran kami dalam kumpulan itu sering menarik perhatian, tetapi ahli kumpulan lain terima kami. Malah, mereka keluarga kedua saya dan sentiasa menyokong saya, sekalipun di luar persembahan.”