
Menurutnya, sebagai peguam beliau telah hanya mahu melindungi dan mempertahankan kedaulatan undang-undang, sambil menegaskan petisyen difailkan bersama anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul dua tahun lalu tiada kaitan dengan doktrin Islam.
“Saya harap selepas ini DUN apabila hendak menggubal undang-undang perlu berhati-hati supaya keadaan lebih harmoni,” katanya ditemui selepas prosiding keputusan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung petisyennya terhadap kerajaan Kelantan.
Beliau juga menjelaskan tiada perancangan untuk mencabar enakmen syariah di DUN negeri lain.
Nik Elin juga menyifatkan bantahan terhadap tindakannya sebagai perkara biasa kerana tidak semua mempunyai pendapat sama.
“Saya balik Kelantan saya tak ada kena kecaman pun. Semua menyokong saya,” dakwanya.
Terdahulu Mahkamah Persekutuan berkata 16 peruntukan dalam enakmen itu bercanggah Perlembagaan Persekutuan bagaimanapun Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang membuat penghakiman bertentangan berpendapat DUN mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang Persekutuan.
Tengku Maimun berkata kes itu bukan bertujuan menggugat agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi semata-mata untuk mempersoalkan sama ada sebuah DUN boleh meluluskan undang-undang tanpa melampaui kuasa diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.