PN mahu berhimpun berkait Enakmen Syariah Kelantan

PN mahu berhimpun berkait Enakmen Syariah Kelantan

PN ambil berat tindakan dua peguam memohon Mahkamah Persekutuan membuat pengisytiharan berhubung 20 peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya menerima memorandum daripada suatu gerakan berhubung tindakan undang-undang itu.
KUALA LUMPUR:
Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan beberapa himpunan berhubung tindakan undang-undang berkait 20 peruntukan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, oleh dua peguam.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata acara pertama akan diadakan di Terengganu pada 16 Nov, diikuti acara di Kelantan pada 18 Nov, dan akhir sekali acara munajat di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 20 Nov.

Katanya pada sidang media di Parlimen, PN mengambil berat tindakan undang-undang itu kerana “implikasinya sangat besar pada seluruh undang-undang Mahkamah Syariah,” dan bimbang kesannya pada sebahagian besar bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya menerima memorandum daripada suatu gerakan berhubung tindakan undang-undang itu, dan akan menyerahkan ia kepada “pihak-pihak berkenaan”.

“Isu ini merentasi parti politik bahkan ia merupakan isu bersama yang sepatutnya semua pihak rasa prihatin,” katanya.

Tahun lalu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman memohon Mahkamah Persekutuan membuat pengisytiharan berhubung 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, yang menurut mereka bertindan dengan undang-undang persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Mereka berhujah undang-undang jenayah terbabit merupakan bidang kuasa Parlimen.

Mereka membuat permohonan terus kepada Mahkamah Persekutuan kerana ia mempunyai kuasa eksklusif untuk menentukan persoalan yang dibangkitkan, menurut Perkara 128(1)(a) Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.