
Mereka berkata, kenyataan terbaru ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu terus membayangkan seolah-olah Daim bersalah, serta tidak mengendahkan nasihat hakim supaya semua pihak mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh menjejaskan prosiding.
“Ini ialah siri terbaru kenyataan atau komen daripada Azam dan SPRM mengenai dakwaan (harta) milik Daim, walaupun tuduhan di mahkamah belum selesai,” kata peguam-peguam Daim.
“Selain kenyataan langsung, terdapat juga kebocoran berterusan melalui ‘sumber’, SPRM dan sebagainya. Kenyataan-kenyataan itu secara konsisten membayangkan atau menyatakan secara jelas bahawa Daim bersalah, secara langsung mengabaikan anggapan tidak bersalah yang merupakan asas sistem keadilan jenayah kita.”
Dilaporkan semalam bahawa SPRM mungkin memanggil Daim untuk disoal siasat semula selepas penyiasat menerima lebih banyak maklumat mengenai aset didakwa dimilikinya.
Azam berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesahkan maklumat yang diterima.
Peguam-peguam Daim berkata, kenyataan Azam sangat memudaratkan hak perlembagaan Daim untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
“Kami mendesak Azam dan SPRM untuk menghormati sistem keadilan dan proses undang-undang mulai sekarang,” kata mereka.