Gelaran ‘Black Friday’ seolah perkecil usaha raja, PKR bidas Takiyuddin

Gelaran ‘Black Friday’ seolah perkecil usaha raja, PKR bidas Takiyuddin

Takiyuddin Hassan memberi gelaran 'Black Friday' bagi menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Amidi Abdul Manan berkata Takiyuddin Hassan sepatutnya mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah tanpa dibawa ke Mahkamah Persekutuan, sewaktu beliau menjadi menteri undang-undang dari 2020 hingga 2021.
PETALING JAYA:
Biro agama PKR membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan berkata gelaran ‘Black Friday’ diberi Ahli Parlimen Kota Bharu itu seolah-olah menggambarkan perundangan syariah telah mati atau menuju masa depan gelap.

Dakwanya, gelaran itu juga dilihat cubaan PAS memperkecilkan usaha Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersetuju menubuhkan jawatankuasa mengkaji komptensi DUN menggubal undang-undang Islam.

Jelasnya, jawatankuasa dipengerusikan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi itu jelas dibentuk untuk mengelakkan pertikaian undang-undang sivil dan syariah berulang.

“Inilah sinar baharu bagi mendaulatkan undang-undang syariah diusahakan kerajaan jauh dari kepentingan politik sempit kepartian,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Mengulas lanjut, Amidi berkata Takiyuddin seharusnya bertindak mengharmonikan antara kedua-dua undang-undang ini tanpa dibawa ke Mahkamah Persekutuan, sewaktu beliau menjadi menteri undang-undang dari 2020 hingga 2021.

“Ini ditambah apabila Presiden PAS Hadi Awang sendiri menangguhkan usul persendiriannya berkaitan RUU 355 yang mengandungi hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah yang lebih berat, ia menjauhkan Mahkamah Syariah dari fungsi sepatutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.