
Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, prosiding itu dilaksanakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dengan kehadiran majikan dan pekerja serta disaksikan pegawai Kedutaan Bangladesh.
“Kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama dengan pembayaran gaji sejumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja-pekerja berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
KSM berkata, pekerja yang dibawa masuk dan tidak diberikan pekerjaan masih menjadi tanggungjawab majikan.
“Pihak syarikat juga akan menempatkan pekerja tersebut kepada majikan baru melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu oleh JTKSM,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mendedahkan terdapat kira-kira 2,500 pekerja asing ditipu majikan berada di Pengerang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Malaysia sudah tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan dan tiba masa untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan tidak bertanggungjawab.
Sementara itu, KSM memaklumkan kejayaan prosiding itu akan menjadi rujukan kepada kes buruh selepas ini kerana ia melibatkan pekerja asing dibawa masuk secara sah tetapi tidak diberikan pekerjaan, termasuk diabaikan.
“Majikan yang didapati bersalah akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa dan baki kuota pekerja asing akan dibatalkan.
“KSM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar perundangan perburuhan, dan akan sentiasa memastikan kebajikan pekerja sentiasa terjamin,” katanya.