Dokumen tak lengkap, kes polis langgar pelajar tangguh bulan depan

Dokumen tak lengkap, kes polis langgar pelajar tangguh bulan depan

Kes akan disebut semula pada 21 Mac selepas pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen.

Mohd Nazri Abdul Razak didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada 18 Dis lalu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 21 Mac depan bagi sebutan semula kes membabitkan seorang pegawai polis yang berdepan tuduhan membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima, Disember lalu disebabkan dokumen tidak lengkap.

Majistret S Punitha menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pasukan pendakwaan yang membabitkan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, dan Geetha Jora Singh memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Jacky Loi Yap Loong dan Lim Chi Chau yang mewakili tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, tidak membantah permohonan itu.

Terdahulu, tertuduh tiba di mahkamah dengan tangan bergari pada 8.20 pagi, namun media masih gagal merakam wajahnya kerana kepalanya ditutup dengan jaket berwarna gelap.

Turut kelihatan hadir, wakil keluarga dan kenalan serta peguam pemerhati bagi keluarga mangsa, Wan Azmir Wan Majid dan Zamri Idrus.

Pada Disember tahun lepas, Nazri didakwa secara tentatif atas tuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, dekat Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari pada 15 Dis.

Pegawai polis berpangkat DSP yang bertugas di IPK Kedah itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di depan Punitha ketika itu kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.