
Beliau berkata, polis telah menjalankan siasatan selepas menerima pelbagai laporan, termasuk daripada anak Taib dan peguam, mendakwa beliau diculik.
“Beliau dibawa keluar dari hospital ke kediamannya. Adakah beliau diculik atau dilarikan? (Dakwaan ini) tentunya tidak masuk akal.
“Anak-anak dan adik beradik bebas melawat di kediamannya, yang mana ada keberadaan doktor dan jururawat,” katanya kepada media selepas meluncurkan Op Selamat 2024 sempena Tahun Baharu Cina.
Razarudin berkata, dakwaan sebelum ini datang dari maklumat tidak tepat dan tidak disahkan disebarkan melalui media sosial seperti WhatsApp.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, memberitahu media Taib berada di kediamannya di Kuching bersama isteri, Raghad Kurdi Taib.
Sebelum ini, tersebar laporan polis di media sosial, mendakwa Raghad membawa keluar Taib dari hospital swasta dengan mengetepikan nasihat perubatan. Beliau kemudian menafikan perkara itu.
Mancha berkata, polis menerima lapan laporan polis terhadap Raghad.