
Nufam mendakwa ada syarikat penerbangan tidak mahu membayar tunggakan gaji atau pampasan pekerja setelah mendapat perintah mahkamah.
“Apabila kes mereka dibawa ke jabatan tenaga kerja dan Mahkamah Perusahaan, hanya ‘award’ dikeluarkan, dan tiada sebarang tindakan susulan diambil terhadap majikan yang enggan membayar pampasan.
“Sepatutnya majikan membayar dalam masa 30 hari setelah perintah dikeluarkan oleh mahkamah tapi ada yang tidak memperdulikan langsung perintah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kesatuan itu, ramai pekerja dalam industri penerbangan terjejas sekian lama dengan masalah itu, dan terkini turut menimpa kakitangan syarikat penerbangan tambang murah MyAirline.
“Sehingga hari ini ramai antara pekerja yang terjejas ini tidak mendapat sebarang bayaran atau pampasan yang sepatutnya dibayarkan oleh majikan pekerja,” katanya.
Nufam mendakwa ada juga syarikat ditutup untuk lari daripada membuat bayaran pampasan kepada pekerja.
“Sudah tiba masanya kementerian bertanggungjawab meneliti semula undang undang yang agak lemah dan langsung tidak memberi keutamaan kepada hak pekerja untuk memastikan bayaran pampasan pekerja itu dibayar sepenuhnya,” katanya.
Pada 18 Okt tahun lalu, Nufam menggesa MyAirline membuat bayaran gaji tertunggak kepada pekerjanya sebelum memulakan sebarang langkah pemulihan.
Ia susulan seramai 15 kakitangan syarikat itu membuat laporan polis terhadap MyAirline yang gagal membayar gaji tertunggak mereka.
Syarikat itu menggantung operasi serta-merta pada 12 Okt susulan “cabaran kewangan yang signifikan”.