
Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook, berkata ketiga-tiga mangsa berusia 58, 32 dan 12 tahun berada dalam bilik ketika kejadian pada 8.30 malam Isnin.
Katanya, tiga mangsa tiba-tiba terdengar suspek mengamuk dan mengeluarkan kata-kata kesat, sebelum masuk ke bilik sambil membawa sebotol arak dan minum di depan mereka.
“Suspek kemudian menyemburkan air itu di kepala ibunya, namun cuba dihalang isterinya, tetapi tidak diendahkan suspek sebelum dia keluar dari bilik,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, isteri suspek segera mengunci pintu bilik dan beberapa minit kemudian, suspek datang semula ke depan pintu bilik serta mengugut akan mencederakan sesiapa yang keluar dari bilik itu menggunakan pisau dan parang.
“Berikutan itu, adik lelaki suspek memaklumkan kejadian kepada bilik gerakan IPD Jempol,” katanya sambil menambah suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu ditahan pada 9 malam hari sama di rumahnya.
Menurutnya, suspek yang positif methamphetamine direman empat hari mulai hari ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Katanya, senjata yang didakwa untuk mencederakan mangsa tidak dirampas kerana mangsa dan saksi hanya terdengar ugutan suspek, tetapi tidak nampak senjata berkenaan.