Cubaan mengedar gagal, polis rampas dadah RM500,000

Cubaan mengedar gagal, polis rampas dadah RM500,000

Rampasan dilakukan polis Pahang selepas menahan enam individu termasuk seorang wanita dalam satu operasi khas kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata semua dadah yang dirampas terdiri daripada syabu, pil yaba dan heroin yang ditemukan dalam kenderaan dan bilik penginapan suspek. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis Pahang berjaya menggagalkan cubaan mengedar dadah seberat 26kg bernilai RM543,559 selepas menahan enam individu termasuk seorang wanita dalam satu operasi khas kelmarin dan semalam.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata semua suspek berusia 25 hingga 51 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Tanjung Lumpur dan Indera Mahkota.

Katanya, polis turut merampas dadah jenis syabu dianggarkan seberat 10.41 kg, pil yaba seberat 3249.9g dan heroin seberat 12.66kg yang ditemukan dalam kenderaan dan bilik penginapan suspek.

“Turut dirampas dua kenderaan, wang tunai RM888 dan pelbagai barang kemas bernilai RM13,190,” katanya pada sidang akhbar di IPK Pahang, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan tiga suspek termasuk seorang wanita di sekitar kawasan Tanjung Lumpur pada 6.17 petang, Ahad lalu.

“Hasil serbuan dijalankan, polis merampas dadah jenis syabu dan pil yaba dengan berat keseluruhan dianggarkan lebih 13.6 kilogram bernilai RM438,429, sejumlah wang tunai, barang kemas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai milik salah seorang suspek.

“Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah dan memiliki rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.

Katanya, tangkapan kedua pula melibatkan tiga lelaki di sekitar Indera Mahkota antara 10 pagi Ahad hingga 12.23 pagi Isnin.

“Polis kemudiannya merampas dadah heroin dianggarkan seberat 12.66kg bernilai lebih RM150,000 dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipercayai kenderaan sewa.

“Salah seorang suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka turut memiliki rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 5 hingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.