
Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah ini ialah peningkatan sebanyak RM240 juta berbanding peruntukan asal pada tahun lepas.
Beliau berkata, sebanyak 92 projek baharu diluluskan pada tahun ini dengan jumlah keseluruhan 425 projek.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) mencatat jumlah peruntukan terbesar pada tahun ini iaitu RM0.8 bilion (RM800 juta) melibatkan 32 projek.
“Projek-projek utama bawah KKR termasuk enam pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) dan sembilan pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Krai ke Gua Musang.
“Kesemua 14 daripada 15 pakej tersebut kini dalam pelaksanaan manakala satu pakej pada peringkat perolehan. Jumlah keseluruhan kos pembinaan adalah sebanyak RM4.79 bilion,” katanya pada Majlis Makan Malam Bersama Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM malam tadi.
Teks ucapan Nik Nazmi yang juga pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan dibacakan oleh Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim.
Nik Nazmi berkata, jaringan pengangkutan menyeluruh termasuk pembinaan jajaran lebuh raya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kini sedang rancak dibina.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan persekutuan turut meluluskan fasa baharu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dengan kos RM1.06 bilion bagi Fasa 2 Sungai Kelantan dan RM0.5 bilion bagi Fasa 3 Sungai Golok.
“Untuk rekod, sebanyak 13 projek secara terkumpul berkaitan banjir di pelbagai peringkat pelaksanaan telah diluluskan di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.83 bilion.
“Saya berharap semua pihak khususnya agensi pelaksana terlibat agar dapat memastikan pelaksanaan projek-projek ini berjalan dengan lancar malah jika mampu elakkan sebarang masalah menyumbang kepada kelewatan pelaksanaannya,” katanya.