
Baginda bertitah bilangan ahli majlis itu juga perlu menggambarkan komposisi dan populasi kaum di Bandar Klang agar semua kaum dapat diwakili.
“Beta suka mengingatkan kepada ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang, datuk bandar dan juga kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.
“Jauhilah segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri atau pihak tertentu. Tuan-tuan semua kena turun padang mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka,” titah baginda pada Majlis Pengisytiharan MBDK di sini, hari ini.
Sultan Selangor turut bertitah MBDK mencari kaedah mengatasi masalah banjir ekoran daerah itu terletak di sepanjang laluan Sungai Klang dari hulu ke hilir sebelum air sungai itu menuju ke laut.
“Pendapat pakar perlu diperoleh bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir dapat diatasi dengan berkesan. Sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti hujan lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daerah Klang dan menjejaskan kehidupan penduduk terlibat.
“Oleh demikian, beta mengharapkan datuk bandar dan ahli MBDK mengambil serius masalah ini dengan memikirkan langkah bagi mengatasinya. Pelan rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang.”
Baginda turut berharap Bandar Klang membangun ke tahap lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandar raya bersih, di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.
“Antara perlu diberikan perhatian ialah tahap kebersihan kawasan perumahan, sungai dan tebing sungai serta kemudahan prasarana baik.
“Beta juga berharap pihak berwajib yang diamanahkan membangunkan Klang akan terus mempromosi industri pelancongan di lokasi menarik dan bersejarah sekitar Klang, sekali gus menjana ekonomi dan pendapatan penduduk daerah ini.”
Sultan Sharafuddin turut menegaskan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang segera dilaksanakan demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat.
“Apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandar raya, sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik.”