
Katanya, kertas siasatan melibatkan anggota polis tersebut juga telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rabu lalu.
“Sekarang kita tunggu arahan daripada TPR sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi,” katanya menurut Berita Harian selepas hadir merasmikan kempen kesedaran keselamatan jalan raya di Manjung.
Sebelum ini, media melaporkan dakwaan seorang pelajar perempuan 16 tahun dirogol oleh sarjan polis berusia 42 tahun sebanyak dua kali dalam kereta, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.
Perbuatan suspek yang juga timbalan ketua balai terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.
Ketua Polis Perak Tengah Hafezul Helmi Hamzah, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada 20 Jan.
Susulan itu, sepasukan anggota polis menahan suspek pada 28 Jan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Mengulas mengenai siasatan dalaman Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap pegawai itu, Yusri berkata, polis Perak sudah merujuk kes berkenaan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
“Memang kita lihat baru-baru ini berlaku ketidakpatuhan integriti dalam kalangan pasukan polis. Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil, tambahan lagi kes ini diambi alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk tindakan lanjut,” katanya.