
Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Beliau berkata pasukan polis yang menjejaki lokasi Muhammad Riduan Abdullah tiada maklumat menunjukkan dia melarikan diri ke luar negara bersama Prasana Diksa.
Hamid turut menafikan kelewatan polis mengeluarkan notis Interpol menyebabkan mereka melanggar perintah mahkamah dikeluarkan pada 20 Mei 2014 untuk mendapatkan semula Prasana daripada Riduan.
Riduan, yang dulunya dikenali sebagai K Pathmanathan, melarikan diri bersama Prasana pada 2009, ketika hanya berusia 11 bulan. Dia kemudian menukar agama anak perempuannya kepada Islam tanpa persetujuan Indira.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan KPN ketika itu, Khalid Abu Bakar menahan Riduan dan mendapatkan semula Prasana.
Hamid berkata, siasatan polis mendapati Riduan berada di selatan Thailand pada 2019, selepas laporan risikan terdahulu menunjukkan dia bersembunyi di Perak dan Kelantan.
“Arahan saya kepada mereka jelas…mereka perlu memperhebatkan usaha mencari dan membawanya pulang. Saya tidak main sentimen politik atau agama, saya juga tidak dramatik.
“Saya bersimpati dengan Indira dan saya hantar pegawai untuk meyakinkannya bahawa saya prihatin dengan nasibnya serta berusaha menemuinya secara peribadi,” katanya ketika ditanya Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A Dadi.
Hamid turut menafikan dakwaan polis tidak berusaha sebaik mungkin untuk menjejaki Riduan dan Prasana, sebaliknya mereka mengambil pelbagai langkah untuk mencari dua beranak itu.
Beliau yang dilantik KPN dari Mei 2019 hingga Mei 2021, turut mempertahankan pembabitan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) untuk mencari Riduan kerana anggotanya mempunyai kepakaran khusus yang diperlukan bagi tugas itu.
Terdahulu, peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Indira, mempersoalkan penggunaan Stafoc kerana bidang tugasnya tiada kaitan dengan kes itu.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan polis melaksanakan waran komital ke atas Riduan kerana menghina mahkamah atas keengganannya mengembalikan Prasana kepada Indira, yang diberikan hak penjagaan penuh ke atas tiga anak mereka.
Mahkamah tertinggi turut menyerahkan semula kes itu kepada Mahkamah Tinggi Ipoh untuk hakim memantau pematuhannya.
Guru tadika itu memfailkan saman pada 2020 terhadap KPN, kerajaan, polis dan Kementerian Dalam Negeri atas dakwaan kegagalan mematuhi perintah mahkamah untuk menangkap Riduan dan mengembalikan Prasana.