
Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir menegaskan BN menghormati keputusan lembaga itu, yang mengurangkan hukuman terhadap Najib daripada pemenjaraan 12 tahun ke enam tahun, dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.
Pengurangan itu di sebalik Umno yang mengharapkan pengampunan penuh bagi bekas presidennya.
“Dewan Tertinggi Barisan Nasional menghormati keputusan Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan.
“Pada masa sama, Dewan Tertinggi mendukung segala langkah bakal diambil selaras dengan lunas undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan.
Najib dijangka dibebaskan dari penjara pada 2028.
Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta.
Najib mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.
Menyusuli keputusan lembaga, Umno mengumumkan ia akan meneruskan usaha mendapatkan pembelaan buat Najib.
Menurut sumber parti, ketua-ketua bahagian Umno diarahkan mengumpul sejuta tandatangan bagi suatu petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.