8 cedera, kereta terbabas rempuh rumah, motosikal

8 cedera, kereta terbabas rempuh rumah, motosikal

Kejadian 9 malam itu menyebabkan dua kanak-kanak berusia empat dan lima tahun mengalami kecederaan.

Sebuah rumah rosak selepas dirempuh dalam kemalangan di Kampung Dalab Pantai, Tambunan, malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sebuah rumah rosak dirempuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua motosikal dalam kejadian di Kampung Dalab Pantai, Tambunan, malam semalam.

Kejadian kira-kira 9 malam itu menyebabkan dua penunggang motosikal, dua penghuni rumah dan empat yang lain termasuk dua kanak-kanak berusia empat dan lima tahun mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.05 malam sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, seramai enam anggota dihantar ke tempat kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Tambunan.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta yang berlanggar dengan dua motosikal dan seterusnya terbabas melanggar sebuah rumah berhampiran.

“Kejadian itu menyebabkan kerosakan sebuah bilik rumah tersebut di mana dua penghuni di dalamnya bersama empat individu dalam kenderaan mengalami kecederaan ringan manakala dua lagi penunggang motosikal turut dilaporkan cedera,” katanya menurut Sinar Harian.

Mitchell berkata, rawatan awal diberikan kepada semua mangsa oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

“Mangsa yang cedera seterusnya dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS dan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada 10.20 malam selepas pasukan bomba memastikan lokasi kejadian selamat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.