
“Kita tunggulah, waktu ini kita belum adakan mesyuarat, jadi perkara itu (tindakan disiplin) tidak timbul,” kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil selepas menghadiri Forum Pemerkasaan Belia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Hassan sebelum ini menyarankan Umno merombak kepimpinannya yang segar, berintegriti dan berkarisma daripada “menumpang dahan” Pakatan Harapan yang diakui “rapuh” menjelang PRU16.
Susulan itu, Hassan semalam dilaporkan bersedia dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipecat PKR, jika haknya untuk bersuara dianggap kesalahan.
Beliau juga tidak gentar dengan teguran Fahmi semalam yang berharap pimpinan politik, termasuk dari “parti sama dengan beliau” bermuhasabah dan tidak terlalu pantas memberi komen boleh mengguris hati parti dalam kerajaan perpaduan.
Hari ini, Fahmi mengingatkan Hassan perlu sedia menerima teguran, selepas menegur orang lain.
Menteri komunikasi itu berkata, beliau sudah menyampaikan pandangannya terhadap Hassan yang turut disambut baik veteran PKR itu.
“Kita dalam PKR ni biasa dalam tegur-menegur, cuma beberapa perkara menjadi disiplin parti dan kalau Hassan boleh tegur, maka dia juga boleh ditegur.
“Dan beliau berkata sebutlah Fahmi, sebutlah, teguran itu, memang beliau tidak ada masalah sebenarnya.
“Maka, yang saya sampaikan itu adalah teguran dan sama juga kepada mana-mana ahli parti lain dalam PKR. Jadi, saya ambil maklum pandangan beliau, jika parti buat apa-apa keputusan, kita serah kepada parti.”