Lompong antilompat, jangan salah pentadbiran dulu, kerajaan diberitahu

Lompong antilompat, jangan salah pentadbiran dulu, kerajaan diberitahu

Perunding dasar awam Wan Agyl Wan Hassan berkata jika wujud lompong dalam undang-undang itu menjadi tanggungjawab kerajaan dan pembangkang menutupnya.

Wan Agyl Wan Hassan berkata, pembangkang perlu usul pindaan menangani kelemahan undang-undang antilompat, berbanding sekadar menyifatkannya ada lompang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab menangani kelemahan undang-undang antilompat, berbanding meletakkan kesalahan terhadap pentadbiran terdahulu, kata perunding dasar awam, Wan Agyl Wan Hassan.

Katanya, apabila lompong dikenal pasti, lebih baik kerajaan dan pembangkang bekerjasama menanganinya.

“Menangani lompong adalah tanggungjawab perlu ditanggung bersama. Ia memerlukan kerjasama, perbincangan terbuka, dan komitmen dalam perbahasan membina demi memastikan undang-undang tersebut cekap dan adil memenuhi tujuan dimaksudkan,” katanya kepada FMT.

Wan Agyl berkata, pembangkang mesti memikul tanggungjawab mengemukakan pindaan terhadap undang-undang itu bagi membolehkan perbahasan substantif, bukan sekadar menyifatkannya sebagai tidak sempurna.

Pada 25 Jan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menafikan lompong wujud dalam undang-undang antilompat.

Azalina berkata, kerajaan tidak bertanggungjawab menutup sebarang lompong. Sebaliknya, kerajaan perlu memastikan undang-undang menjamin kerusi dimenangi kekal milik parti, bukan milik peribadi Ahli Parlimen.

Selepas empat Ahli Parlimen Bersatu isytihar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada November, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang antilompat mempunyai kelompongan dan menggesa ia disemak semula.

Tidak lama selepas itu, dua lagi wakil rakyat Bersatu menyokong Anwar dengan terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang Zulkafperi Hanapi, yang memberi alasan tindakan dibuat demi kawasan diwakilinya.

Mengulas kenyataan Muhyiddin, bekas menteri undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memberitahu PN tidak meletakkan kesalahan kepada sesiapa, sambil menyatakan semua parti tahu dan menerima kelompongan dalam rang undang-undang antilompat sebelum ia diluluskan.

Dalam pada itu, peguam kanan, Bastian Pius Vendargon menggesa kerajaan meminda undang-undang menutup kelompongannya.

Katanya, sejak awal penggubalannya, ahli politik dan peguam mengetahui lompong kerana semua parti enggan menerima pakai peruntukan yang akan menjadikan undang-undang tersebut ketat.

“Meminda undang-undang memerlukan iltizam politik dan sokongan, namun kelihatan ahli politik gembira dengan kelompongan ini yang mana dapat dieksploitasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.