
Ketua Polis Terengganu, Mazli Mazlan berkata, berdasarkan laporan, mangsa berminat menyertai pelaburan di Bursa Malaysia melalui iklan di Facebook.
Katanya, mangsa kemudian diberikan penerangan pelaburan melalui satu pautan menggunakan laman web “Accerx System”, di mana beliau boleh membuat transaksi pelaburan dan melihat statistik pergerakan graf di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, mangsa seterusnya memindahkan RM688,300 melalui 19 transaksi ke 12 akaun berbeza, dengan dijanjikan keuntungan RM2 juta apabila mencapai tarikh matang pada 24 Jan lalu.
“Selepas tempoh dijanjikan itu, mangsa ingin mengeluarkan keuntungan dan diminta membuat pembayaran pengeluaran 1% daripada jumlah keuntungan,” katanya menurut Berita Harian.
Disebabkan tidak membuat bayaran seperti diminta, Mazli berkata, mangsa disekat mengakses semula laman web Accerx System, sebelum menyedari ditipu dan membuat laporan pada 31 Jan lalu.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud dan tidak mudah terpengaruh skim pelaburan menjanjikan keuntungan lumayan.
Katanya, statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Terengganu dari 28 Jan hingga 3 Feb lalu menunjukkan peningkatan 21 kes, dengan 136 laporan diterima berbanding 115 laporan bagi minggu sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, 36 kertas siasatan dibuka dengan jumlah kerugian sebanyak RM1,095,762.”